KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) sedia menghulurkan bantuan berkaitan insiden tanah runtuh di Wisma YPR Off Jalan Syed Putra hari ini yang menyebabkan seorang pengawal keselamatan terbunuh.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya akan menawarkan bantuan sekiranya diminta oleh pihak terbabit.
“Berdasarkan laporan awal, saya difahamkan premis itu adalah milik swasta dan berada di bawah penyelarasan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Antaranya berdasarkan peruntukan Akta 133 Jalan Parit dan Bangunan serta beberapa undang-undang kecil berkaitan.
“Bagaimanapun, di pihak Kementerian Kerja Raya (KKR), saya ingin memaklumkan kita bersedia untuk menawarkan bantuan dalam apa juga cara di bawah kapasiti KKR, sekiranya diminta oleh pihak-pihak yang terbabit,” katanya.
Sementara itu Alexander turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Saya bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga pengawal keselamatan yang ditemui meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di pondok pengawal di Wisma YPR, Taman Seputeh di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
“Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila tebing setinggi kira-kira enam meter menghempap pondok tempat mangsa bertugas, menyebabkannya tertimbus, dalam kejadian tengah malam tadi.
“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) berjaya menemui mayat mangsa pada kedalaman tiga meter pada 6.23 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGO KL) memaklumkan, mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an.
Tambah PGOKL, mangsa telah berjaya dikeluarkan pada kedalaman 10 kaki dan disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik.
Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pukul 12.54 tengah malam.
Susulan itu, seramai 37 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, BBP Seputeh, unit STORM dan K9 digerakkan ke lokasi kejadian.
Kejadian berlaku akibat runtuhan batu penahan tebing telah menghempap pondok pengawal ketika mangsa berada di dalam sekaligus menyebabkan mangsa tertimbus.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pengawal keselamatan maut tertimbus bawah runtuhan Wisma YPR