Keadaan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu mangsa yang hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok.

JASIN – Seorang pekebun maut apabila pacuan empat roda dipandu merempuh sebatang pokok selepas dipercayai terkena serangan jantung di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ) di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa, Nor Khafizen Abu Bakar, 54, dari Batu 7, Kampung Kesang Laut, Ledang, Johor ketika itu sedang dalam perjalanan dari arah Melaka menuju ke Muar.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, sebaik sampai di lokasi kemalangan, mangsa seorang pekebun dipercayai terkena serangan jantung.

“Ia kemudian menyebabkan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu hilang kawalan dan terlanggar sebatang pokok.

“Akibatnya, mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette