KUALA LUMPUR – Khabar angin bahawa Kerajaan Perpaduan akan tumbang dalam masa terdekat didakwa disebarkan oleh pihak yang cemburu setelah gagal membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mereka tidak senang dengan kekuatan kerajaan sedia ada.
“Seramai 148 Ahli Parlimen yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan masih kekal utuh dan yang paling penting adalah medan untuk berbincang dan perundingan itu sentiasa berjalan setiap minggu.
“Saya sebagai Ketua Sekretariat sentiasa memastikan komunikasi itu sentiasa berjalan,” katanya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Menara Datuk Onn di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas tentang khabar angin tersebut yang tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.
Asyraf Wajdi menambah, tiada parti yang mendominasi parti lain dalam Kerajaan Perpaduan dan semua perkara dilakukan secara bersama.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan berlaku salah faham dan perbezaan pandangan dalam Kerajaan Perpaduan yang mana situasi itu dianggap sebagai sesuatu yang biasa.
“Tetapi kalau kita lihat sepanjang enam bulan kita membentuk Kerajaan Perpaduan ini ia berbeza dengan pengalaman Pakatan Harapan (PH) 22 bulan selepas PRU14.
“Kita tak dengar isu-isu sensitif melibatkan mana-mana pihak baik Islam, bumiputera atau kaum-kaum lain,” jelasnya.
Asyraf memberitahu, kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan agenda parti politik diletakkan di tempat kedua.
“Kalau ada sedikit perselisihan pun kita dapat kompromi kerana kita tahu rakyat menjadi faktor atau asas utama membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, rundingan pembahagian kerusi antara PH dan Barisan Nasional (BN) menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) sedang berjalan secara positif dan akan diputuskan dalam masa terdekat.
Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO menjelaskan, kerjasama antara PH dan BN amat baik sekali.
“Cuma sekarang ini kita nak fokus bagaimana kerjasama peringkat kepimpinan nak terjemah ke peringkat akar umbi,” jelasnya.
Beliau juga enggan mengulas lanjut apabila ditanya berhubung kemungkinan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN nanti. – MalaysiaGazette
















