KUALA LUMPUR – Kemboja akhirnya menamatkan penantian 64 tahun untuk menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA apabila edisi ke-32 dibuka secara rasmi di Stadium Morodok Techno, di Phnom Penh sebentar tadi.
Bertemakan ‘Sports Live In Peace’, upacara perasmian temasya dwitahunan itu berlangsung dalam suasana cukup meriah menerusi persembahan menarik daripada ribuan sukarelawan Sukan SEA Kemboja.
Lebih menarik lagi, penganjur turut menyelitkan persembahan seni bela diri tradisional masyarakat Kemboja iaitu ‘kun bakator’ dalam usaha memperkenalkannya kepada umum.
Selain itu, persembahan nyanyian dan lampu mewarnai acara berkenaan sekali gus memukau puluhan ribu penonton yang hadir pada majlis terbabit.
Kontinjen negara yang diwakili seramai 42 orang diketuai Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Mohd Nasir Ali bersama timbalannya, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee. – Agensi