Hannah Yeoh (tengah) bergambar kenangan bersama penerima pingat emas pertama negara, C. hamalarani (kiri), dan S. Prem Kumar, dalam acara karate Kumite lelaki dan wanita. Foto: Bernama

PHNOM PENH – Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyifatkan pencapaian kontinjen negara merangkul dua emas pada Sukan SEA 2023, sehari selepas temasya itu dibuka secara rasmi semalam, sebagai permulaan yang cemerlang.

Hannah berkata, beliau gembira dengan kejayaan atlet yang tidak dijangka merangkul pingat terutama atlet karate, S Prem Kumar yang memenangi emas acara kumite lelaki bawah 55 kilogram (kg).

“Syabas dan tahniah kepada atlet serta ketua kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2023 Datuk Mohd Nasir Ali. Saya harapkan atlet terus kerja keras lagi dan rakyat Malaysia pula terus berikan sokongan selain doa untuk atlet di Kemboja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan acara karate di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Nasir lega dengan pencapaian dua emas atlet negara setakat ini, khususnya kejayaan karate yang berjaya menampung kehilangan emas daripada sukan jujitsu.

Beliau juga yakin atlet karate akan mampu meneruskan momentum kecemerlangan untuk setidak-tidaknya mencapai sasaran tiga emas ditetapkan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) di Kemboja.

Terdahulu, Adam Akasyah, yang dicanang sebagai prospek emas jujitsu bagi acara lelaki NE-Waza-Gi bawah 69 kg sekadar meraih gangsa dengan menumpaskan wakil Filipina Michael Bryan Tiu 4-2 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga. — Bernama