Kolej Antarabangsa Inovatif (IIC) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kementerian Tenaga Kerja (Kemnaker) Republik Indonesi di Ibu Negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Kolej Antarabangsa Inovatif (IIC) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kementerian Tenaga Kerja (Kemnaker) Republik Indonesia bagi program pendidikan berasaskan pembelajaran dalam pekerjaan di negara ini.

Presiden IIC, Shahawati Umar berkata, kira -kira 4,000 pelajar dari Indonesia bakal terlibat dalam program work-based learning yang dianjurkan selama 18 hingga 24 bulan bermula Julai depan.

“Pada fasa pertama ini, penempatan kita sudah tetapkan seramai 500 pelajar dan kemasukkan mereka akan dilakukan secara berperingkat. Kita juga perlu melihat beberapa proses bagi memastikan ia berjalan dengan sempurna.

“Program ini bertujuan memberi peluang pelajar, belajar secara langsung di tempat kerja, pengalaman praktikal dan meningkatkan kemahiran yang diperlukan bagi menempuh dunia pekerjaan yang sebenar.

“Selain itu, kerjasama ini juga bertujuan untuk menangani permintaan yang semakin meningkat untuk pekerja teknikal mahir di Indonesia serta meningkatkan kesiapan negara untuk era Industri 4.0,” katanya selepas menandatangani MoU itu, di sini, hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kementerian Tenaga Kerja (Kemnaker) Republik Indonesia

Turut hadir Pengerusi IIC, Kapten (B) TLDM Profesor Emeritus Datuk Dr. Hashim Yaacob bersama wakil Kemnaker, Direktur Jenderal Binalavotas, Budi Hartawan.

Tambah Shahawati, kerjasama MoU itu bukan sahaja dengan Kemnaker tetapi ia turut membabitkan Politeknik Negeri Media Kreatif Indonesia dan Poli Negeri Pariwisata (Poltekpar) Medan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan penginapan semua pelajar dari republik itu yang menyertai program tersebut akan ditanggung sepenuhnya dan mereka juga akan diberi elaun.

“Di bawah program ini, anak-anak dari republik itu boleh mendapat kebaikan sama seperti pelajar di Malaysia yang mana tempat tinggal mereka akan dibiayai sepenuhnya sepanjang magang (pratikal) di sini.

“Keduanya, mereka diberi makan, pakaian dan pengangkutan. Walaupun mereka ini magang tapi mereka akan diberi elauan sebanyak RM1,500 hingga RM2,000, bukan tidak dibayar atau dibayar RM300 sahaja.

“Selain itu, pelajar akan diberikan wang saku sebanyak RM600 dari Indonesia dan selebihnya akan digunakan untuk membayar yuran pengajian mereka, jadi di akhir pengajian sebenarnya mereka tidak mengeluarkan pembiayaan untuk pengajian,” ujarnya.

Pelajar IIC bakal ditempatkan di beberapa hotel lima bintang di seluruh negara termasu Renaissance Hotel, Element by Westin, Attana Group, Le Meridian dan Platform Hospitality Group and Malaysia Association of Hotel.

Tiga program pengajian yang diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah Diploma Hotel Management dengan Work-Based Learning, Diploma Retail Management dengan Work-Based Learning dan Diploma in Culinary Art dengan Work-Based Learning.

Presiden Kolej Antarabangsa Inovatif, Shahawati Umar bersama Ketua Pengarah Pusat Latihan Vokasional dan Produktiviti Kementerian Tenaga Kerja Indonesia, Budi Hartawan; Pengerusi Innovative Capital Berhad, Dato’ Wira Azizan Osman dan Pengerusi

Sementara itu, Budi berharap menerusi jalinan kerjasama dalam program itu akan dapat melahirkan kebolehpasaran dan kebolehkerjaan graduan yang berkualiti untuk mengisi pasaran pekerjaan di Indonesia.

“Saya harap pelajar atau alumni yang telah mengikuti program di bawah kelolaan Kemnaker, mereka akan diberikan sijil pengajian bukan sahaja dari Indonesia tetapi daripada Kolej Antarabangsa Inovatif.

“Jadi semua pelajar kita akan menerima dua sijil pengajian setelah pulang dan kita berharap dengan kelebihan ini mereka boleh mengisi semua tempat pekerjaan dalam industri di negara ini (Indonesia),” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast