menghendap banduan hukuman mati bunuh diri Azalina jawatan
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kerajaan secara prinsipnya bersetuju untuk menubuhkan Ombudsman Malaysia 2023, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Buat masa ini, katanya, kerajaan berada pada peringkat akhir dalam memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) itu untuk mendapatkan pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menurut beliau, Ombudsman Malaysia yang akan dicadangkan itu berfungsi untuk menerima, mengendali dan menyelesaikan aduan berkaitan salah tadbiran sistem penyampaian perkhidmatan awam persekutuan bagi meningkatkan tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam.

“Ombudsman adalah satu badan bebas mengamalkan konsep tidak memihak dalam menguruskan aduan yang disalurkan orang awam terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Ia juga merupakan satu konsep yang diterima pakai dan diiktiraf di peringkat antarabangsa dan 115 daripada 195 negara di dunia mempunyai institusi Ombudsman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata Azalina, RUU Ombudsman Malaysia yang sedang dipertimbangkan itu akan memperuntukkan fungsi dan kuasa dengan jelas merangkumi pengurusan aduan salah tadbiran di agensi Kerajaan Persekutuan.

Ombudsman Malaysia juga katanya, bertindak sebagai penentuan hala tujunya dalam mencegah salah tadbir, pengemukaan syor tindakan pembetulan atau tindakan pencegahan kepada agensi kerajaan.

“Ia juga bertindak sebagai pemantauan ke atas pelaksanaan pengurusan aduan awam dan penyediaan serta penerbitan laporan berhubung pengurusan aduan salah tadbiran agensi kerajaan.

“Buat masa ini, kerajaan perpaduan sedang mempertimbangkan beberapa perkara dasar lagi antaranya melibatkan elemen siasatan dan penguatkuasaan terhadap aduan salah tadbiran sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Di samping pembentangan laporan di Parlimen, jenis aduan, pelantikan dan penamatan perkhidmatan Ombudsman, pelantikan pegawai yang akan berkhidmat di Ombudsman serta perkara lain berkaitan bagi mengukuhkan fungsi penubuhannya secara holistik,” kata beliau.

Kata Azalina, selaras hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) bersama Biro Pengaduan Awam (BPA) mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan civil society organisations (CSOs) dalam memuktamadkan RUU Ombudsman Malaysia.

Pada hari ini, kata beliau, kerajaan di BHEUU, JPM telah mengadakan sesi libat urus bersama agensi kerajaan seperti JPM, Suruhanjaya Perkhimatan Awam Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan NGO seperti Majlis Peguam Malaysia, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS), Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan sebagainya.

“Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak ini atas maklumbalas dan cadangan mereka.

“Kerajaan juga akan mengadakan sesi taklimat dengan Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada sidang Parlimen akan datang dalam mendapatkan input dan pandangan sebagai usaha penglibatan yang bermakna dalam memuktamadkan RUU tersebut dengan kadar segera.

“Penubuhan Ombudsman Malaysia ini adalah penting ke arah sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap dan efektif serta kerajaan yang lebih responsif dan adil terhadap rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette