kebangkitan islamofobia
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggesa supaya politik kaum Melayu dan Islam diselamatkan melalui perpaduan.

Menurut beliau, kaum Melayu telah menjadi mangsa kejahilan tersalah langkah politik, menghidapi penyakit rasuah, mengalami keruntuhan moral dan lain-lain penyakit.

Katanya, kaum Melayu-Islam juga telah berpecah dalam cabang agama, fahaman politik, perebutan pangkat dan harta.

Abdul Hadi mendakwa, kaum Melayu dipermain-mainkan dan ditipu secara terang-terangan kerana jahil dan lalai.

“Jangan biarkan kuasa politik yang masih ada ini terlucut kerana jahil dan leka, kerana kuasa politik memayungi segala perkara yang lain.

“Selamatkan keadaan hari ini dengan perpaduan bangsa Melayu Islam, sepertimana Rasulullah SAW memulakan dengan perpaduan bangsa Arab,” katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan, Pas menyokong usaha permulaan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menemukan para pemimpin Melayu, para ilmuwan, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan orang-orang yang berpengaruh.

Katanya, umat Islam Melayu yang mundur wajib bersatu dengan kembali semula kepada Islam dan semua bangsa yang menganut Islam paling layak memimpin dunia.

“Inilah perkara yang sangat ditakuti oleh musuh Islam kerana kedengkian mereka terhadap Islam, bukan kerana mencari kebenaran.

“Besarnya jumlah rumpun Melayu di Nusantara pasti menjadikan rantau ini sasaran musuh, jangan ada pihak yang menjadi alat musuh makhluk asing yang sentiasa ingin mengambil peluang,” kata Hadi.

Sementara itu, kata Abdul Hadi, golongan Melayu-Islam yang tenggelam dalam mengejar cita-cita, sehingga matlamat menghalalkan segala cara dan menyerang tokoh-tokoh Melayu yang berjaya dalam politik, ekonomi, akademik perlu diketepikan.

Kumpulan itu, menurutnya, bersengkongkol dengan kalangan paling ramai kaya-raya yang menjadi penyumbang dan penerima rasuah.

“Bahkan turut bersamanya kalangan yang ekstrem politiknya terhadap Islam dan Melayu, kalangan media yang membawa suara syaitan yang menggoda orang Melayu dan kalangan ilmuwan yang otaknya diletak ke dalam perut, mereka melompat laksana kera yang bergayut di mana pokok yang lebat buahnya termasuk buah beracun dan memabukkan,” dakwa Abdul Hadi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.