semakan kehakiman Najib kes SRC
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi ini selepas mengalami cirit-birit, demam dan dehidrasi.

Difahamkan beliau mula sakit sejak malam tadi.

Semasa prosiding 1Malaysia Developement (1MDB) hari ini, Mahkamah Tinggi diberitahu oleh pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Penjara Kajang, Dr. Mohd. Hafiz Mohd. Hoshni bahawa Najib dirujuk kepada pakar HKL kira-kira jam 9.30 pagi selepas mengadu kurang sihat, loya dan sakit perut.

Dr Mohd Hafiz berkata, keadaan Najib masih sama selepas diberikan ubat pada malam tadi.

“Datuk Seri Najib memberitahu beliau sakit perut dan loya. Keadaannya masih sama walaupun selepas diberi ubat. Ketika diperiksa, suhunya 37.8 darjah Celsius. Beliau nampak penat dan lesu.

”Beliau perlu diberi drip selain tidak mampu berdiri sebab duduk terlalu lama. Sememangnya beliau tidak boleh hadir bicara dan diberikan cuti sakit dua hari,” katanya.

Mendengar penjelasan tersebut, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan untuk menangguhkan prosiding pada hari ini dan esok.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – MalaysiaGazette