Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli melawat tapak mesin layan diri Insiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang diletakkan di Stesen Sentral, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kelompok penerima model Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dijangka mampu bebas dari garis kemiskinan dalam tempoh dua tahun.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan keyakinan model perniagaan melalui mesin layan diri itu berupaya memberi peluang kepada golongan B40 dan miskin tegar untuk menjana pendapatan bersih sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.

“Memang kita nakkan penerima ini (IPR) selepas dua tahun dia move-on dan buat benda lain sebab dia sudah keluar dari garis kemiskinan itu dan peluang itu akan dibuka kepada penerima-penerima lain.

“Kami berpandangan jika ini (IPR) diusahakan kepada skala menyeluruh di seluruh negara, kita akan ada mekanisme membantu miskin tegar dan B40 yang lebih mampan dan berterusan,” katanya selepas melancarkan mesin layan diri IPR di Stesen Sentral hari ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli semasa sesi lawatan ke Tapak Mesin Vending Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Stesen Sentral Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 09 MEI 2023.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, peserta IPR hanya perlu menyediakan modal untuk kos makanan dan tidak akan dikenakan sebarang bayaran sewa untuk mesin dan elektrik.

“Beban daripada segi pelaksaan termasuk infrastruktur dan pemasaran itu bergantung kepada pihak kerajaan, kementerian dan rakan strategik. Penerima hanya mengeluarkan modal pusingan untuk menyediakan makanan sahaja.

“Tanggungan kos yang disumbangkan oleh rakan strategik masing-masing juga mampu menampilkan harga jualan yang lebih rendah iaitu antara RM1 hingga RM5 kerana penerima mengeluarkan modal pusingan semata-mata untuk menyediakan makanan itu sahaja.

“Melalui IPR, kerajaan memperuntukkan jumlah yang besar kepada mesin layan diri yang dimiliki pengilang hanya untuk beri sewaan percuma untuk dua tahun pertama,” katanya lagi.

Tambah Rafizi, sebanyak 1,100 rakan strategik juga menyambut baik inisiatif itu dan tampil kehadapan untuk bekerjasama di bawah program IPR.

Pada masa sama, katanya, kira-kira 100 buah mesin layan diri IPR akan mula dipasang di lokasi tumpuan pengunjung seperti di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Lembah Klang pada Mei.

“Tumpuan kita juga adalah di kampus-kampus kerana projek rintis di Universiti Teknologi MARA (UITM) Puncak Alam mendapat sambutan cukup baik. Memang ada permintaan yang cukup tinggi (pemasangan mesin layan diri IPR) daripada institusi-institusi pengajian awam.

“Kemudian kita akan mula keluar dari Lembah Klang, di Pulau Pinang, dan Sabah pun akan mula ada,” katanya lagi.

Untuk rekod, IPR dilancarkan pada 26 Februari lalu yang merangkumi tiga model iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) sebagai usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat sejajar dengan kenaikan kos sara hidup. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast