KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran melahirkan ucapan tahniah dan teruja upacara pertabalan Raja Britain, Duli Yang Maha Mulia Raja Charles III dan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Camilla hari ini.
Raja Charles III secara rasminya ditabalkan sebagai Raja Britain menggantikan mendiang ibunya, Ratu Elizabeth II dalam istiadat pertabalan pemerintah lelaki pertama sejak 1953.
Baginda menjadi pemerintah ke-40 yang ditabalkan di Westminster Abbey sejak 1066, dan istiadat pertabalan itu disempurnakan oleh Uskup Agung Canterbury Justin Welby.
Vigneswaran yang pernah berkhidmat sebagai Yang Dipertua Dewan Negara (YDP) sebelum ini berkata, ia merupakan satu lembaran bersejarah dan terhebat bagi United Kingdom yang bakal memulakan era dibawah kepimpinan Raja Charles III selepas ini.
“Baginda telah berkhidmat dengan jayanya kepada United Kingdom dan Komanwel dengan penuh pengabdian dan penghormatan sepanjang ketika bergelar sebagai Putera Wales.
“Kini Raja Charles III memulakan pemerintahannya, kami dalam solidariti dengan rakyat United Kingdom dan mendoakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.Semoga pemerintahan Baginda disulami dengan kebijaksanaan, belas kasihan serta pemahaman yang mendalam tentang pelbagai keperluan rakyatnya dan masyarakat global.
“Saya yakin hubungan antara Malaysia dan United Kingdom akan mencapai tahap yang lebih tinggi. Pada kesempatan yang bersejarah ini, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Charles III dan Permaisuri Camilla,” katanya di Facebook rasmi beliau.
Detik paling penting istiadat pertabalan menyaksikan Paderi Besar Canterbury, Justin Webly memakaikan Mahkota St. Edward berusia 360 tahun di kepala Raja Charles III.
Raja Charles III diangkat menjadi raja selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II pada September tahun lalu.
Pertabalan itu sekali gus menandakan bahawa selain menjadi ketua negara United Kingdom dan 14 negara Komanwel, Raja Charles III juga ditabalkan sebagai pemimpin tertinggi Gereja England. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Agong, Raja Permaisuri berangkat hadiri pertabalan Raja Charles III