KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang berdiri memegang sebilah parang di sebuah rumah yang sedang terbakar bagi menghalang anggota bomba melakukan tugas ditahan polis.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya yang panggilan kecemasan mengenai kebakaran di Seksyen 17 Petaling Jaya, dekat sini, mengerahkan jentera pemadam dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dan Petaling Jaya ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba di lokasi pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat dan kebakaran didapati tercetus di bahagian bilik di tingkat atas.
“Namun semasa anggota bomba mahu memanjat untuk ke bilik kebakaran itu, (mereka) terkejut selepas terdapat seorang mangsa lelaki tempatan anggaran berusia 40-an berdiri dengan senjata tajam diperayai sebilah parang dan cuba menghalang pihak bomba daripada memasuki rumah itu untuk kerja pemadaman api,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, tambah beliau, pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran itu dengan memecah masuk tingkap dan bumbung salah sebuah bilik rumah tersebut.
Menurut Hafisham, kemusnahan dalam kebakaran itu dianggarkan sebanyak 30 peratus dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.15 petang.
Sementara itu, beliau memberitahu, sepasukan polis telah dibawa ke lokasi kebakaran selepas melihat lelaki bersenjata parang berada di rumah terbabit.
“Bomba dengan kerjasama polis berjaya menangkap lelaki bersenjata parang itu selepas pintu rumah berjaya dipecahkan dan inividu itu dibawa segera ke balai polis berhampiran untuk tindakan siasatan selanjutnya,” ujarnya.
Hafisham berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran itu dicetuskan oleh individu berparang tersebut. – MalaysiaGazette