Azam Baki

KUALA LUMPUR – Pas mengalu-alukan pelanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki selama satu tahun lagi, berkuat kuasa esok.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas percaya lanjutan tempoh perkhidmatan Azam mampu menolak tomahan salah laku dan persepsi buruk terhadapnya dan SPRM oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Walaupun (Azam) pernah berdepan dengan beberapa dakwaan yang lebih berbentuk tohmahan salah laku termasuk berkaitan pemilikan saham dalam beberapa syarikat sebelum ini.

“Pas secara konsisten percaya malah menerima kenyataan penafian beliau berhubung perkara itu.

“Ia sekali gus menghalang percubaan pihak berkepentingan untuk menimbulkan keraguan terhadap maruah dan integritinya secara peribadi dan SPRM sebagai institusi penting negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Sehubungan itu, katanya, parti itu ingin mengucapkan tahniah dan berharap Azam akan terus memberi khidmat cemerlang kepada negara.

“Ia sekali gus memimpin SPRM ke tahap yang lebih membanggakan dalam usaha membebaskan rakyat dan masyarakat daripada budaya dan amalan rasuah yang merosakkan.

“Bagi Pas, beliau yang mencapai umur bersara wajib 60 tahun pada tarikh sama setelah berkhidmat dengan suruhanjaya berkenaan selama 36 tahun dan dilantik untuk mengetuainya pada tahun 2020.

“Perkara itu telah terbukti (Azam) dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan cemerlang dan berkesan di institusi utama pencegahan rasuah negara ini,” jelas beliau.

Semalam Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklukan, Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Pelantikan semula Azam itu adalah untuk tempoh selama setahun dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – MalaysiaGazette