Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 23 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor akan didengar di Mahkamah Tinggi, di sini, bermula esok hingga September ini.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 12, 28 Mei dan 30 Jun; 6, 7, 27, 28 dan 31 Julai; 1, 2, 11, 24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 September untuk perbicaraan di hadapan Hakim K. Muniandy.

Kes itu sepatutnya didengar hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan namun beliau dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.

Mohamed Zaini sebelum ini memberi peringatan kepada pasukan pembelaan supaya memberi keutamaan kepada kes ini yang telah lama, Rosmah didakwa pada Oktober 2018.

Pada pengurusan kes 23 Mac lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn memaklumkan dijangka seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan manakala Rosmah diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

Rosmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Selain itu, Rosmah sedang menunggu rayuan terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Rayuan itu dijadual didengar selama empat hari bermula 11 hingga 14 Julai ini.

Rosmah disabitkan atas pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak. – MalaysiaGazette