GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil keputusan mengecilkan projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) dengan mengurangkan kepada satu pulau.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kerajaan negeri mengkaji semula termasuk memperkecilkan skop tambakan laut bagi projek berkenaan.
Kon Yeow berkata, PSI secara keseluruhan dikecilkan sebanyak 49 peratus yang mana sebelum ini 1,821 hektar tambakan laut kepada 930 hektar.
“Kita mengadakan perbincangan dengan rakan pelaksana projek, SRS Consortium (SRS) dan barisan Exco melalui Mesyuarat Exco semalam dan hasilnya kita mengambil pendekatan untuk pengurangan sebanyak 49 peratus berbanding perancangan yang diluluskan.
“Pengurangan saiz ini bermaksud hanya Silicon Island sahaja akan dilaksanakan dalam dua fasa manakala Pulau B dan C tidak akan diteruskan.
“Projek ini akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun untuk kerja-kerja tambakan,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy; Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari.
Projek PSI diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Konsortium dilantik sebagai PDP untuk PTMP pada 14 Ogos 2015. – MalaysiaGazette