KUALA LUMPUR – Hari ini genap setahun pemergian wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh yang maut ditembak tentera Israel ketika sedang bersiaran di Jenin, Palestin.
Namun, kehilangan wartawan kelahiran Baitulmaqdis itu tidak pernah menjatuhkan semangat seseorang yang digelar ‘insan’, malah ia ibarat satu titik permulaan perjuangan.
Satu butir peluru yang ‘menerjah’ kepalanya menjadi inspirasi kepada lebih ramai lagi yang memahami nilai kebebasan.
Jiwa Shireen sebagai seorang pengamal media yang telah berkecimpung lebih 25 tahun tidak dapat disangkal apabila pengakhiran hayatnya turut ‘diselimuti’ dengan jaket kalis peluru tertera perkataan ‘PRESS’.
Ketua Biro Al Jazeera Kuala Lumpur, Samer Allawi meluahkan rasa hiba setelah tiada suspek yang dibawa ke muka pengadilan selepas setahun siasatan dibuat.
“Kami di Al Jazeera tidak pernah lelah dalam menuntut keadilan buat Shireen. Kami tekad sedaya upaya untuk memastikan pembunuh Shireen dibawa ke muka pengadilan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Samer, tiada guna pihak tentera Israel cuba menidakkan kebenaran dengan tidak memberi sebarang kerjasama kerana pihaknya mempunyai bukti kukuh.
“Kami bawa kes ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan siasatan oleh beberapa agensi terutama organisasi media Amerika Syarikat mendakwa peluru itu kepunyaan tentera Israel,” ujarnya.
Al Jazeera turut menyifatkan kematian Shireen sebagai pembunuhan secara terang-terangan sekali gus melanggar undang-undang dan norma antarabangsa. – MalaysiaGazette