Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menafikan khabar angin berhubung cadangan melantik Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng sebagai Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang baharu.

Ketika diminta mengesahkan, Loke berkata, beliau belum dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Dari mana kamu dapat berita itu? Saya tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara ini,” katanya kepada media ketika ditemui selepas Persidangan Undang-undang dan Perniagaan Maritim 2023 di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelantikan pengerusi KTMB terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

“Setakat ini, saya tidak dimaklumkan (Kementerian Kewangan) mengenai cadangan sedemikian,” katanya.

Sebelum ini, China Press melaporkan, MCA telah memutuskan untuk mencadangkan Jeck Seng sebagai pengerusi baharu KTMB.

Sekiranya dimuktamadkan, Jack Seng adalah wakil pertama dari MCA yang menerima jawatan berkaitan kerajaan dalam Kerajaan Perpaduan.

Jack Seng merupakan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi ketika era pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir merupakan pengerusi semasa KTMB.

Ditanya mengenai projek transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang, beliau berkata, Kementerian Kewangan akan mengadakan mesyuarat dengan MRT Corp pada minggu depan.

Ujarnya, Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan kemudian akan bertemu dengan Kementerian Kewangan untuk melihat model pembiayaan sebelum membuat keputusan. – MalaysiaGazette