Johari Ghani

KUALA LUMPUR – Untuk kekal sebagai kerajaan pada masa akan datang, dua aspek ekonomi perlu dijadikan agenda utama, kata Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, dua aspek itu ialah ekonomi rakyat dan negara, yang diketahui umum saling berkait antara satu sama lain.

Dalam soal ekonomi rakyat, katanya, mereka mahu kerajaan dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya empat permasalahan besar yang mencengkam kehidupan.

Katanya, jika kerajaan sekarang gagal melaksanakan aspek ini, ia tidak akan kekal berkuasa pada pilihan raya umum akan datang.

“Apa yang rakyat mahu? Pertama, semua lapisan masyarakat perlukan makanan dan kerajaan perlu memastikan mempunyai bekalan makanan dan keselamatan makanan bukan lagi timbul masalah tidak ada bekalan ayam, tidak ada telur.

“Kemudian selepas ada makanan, rakyat hendak tengok bagaimana sesebuah kerajaan itu memberi kualiti pendidikan sama ada sekolah rendah, menengah, universiti atau TVET. Mereka nakkan kualiti pendidikan.

“Selepas mendapat kualiti pendidikan, rakyat hendak peluang pekerjaan. Tiada gunanya ada pendidikan, apabila keluar universiti, menganggur,” katanya dalam membicarakan isu bertajuk, “Memperkasa Ekonomi Rakyat” dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini.

Beliau antara empat ahli panel dalam sesi pertama perbahasan mengenai isu itu. Tiga lagi ialah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurut Johari yang juga Bendahari Agung Barisan Nasional apabila rakyat sudah mendapat pekerjaan, mereka perlukan rumah sendiri bukan menyewa atau menumpang.

Katanya, usaha kerajaan sekarang ialah memastikan setiap rakyat dari pelbagai kategori memiliki rumah sendiri yang lengkap dengan infrastruktur dan dan utiliti.

“Di samping dapat rumah, mereka nak tiga perkara lagi iaitu jalan raya efesien yang elok sampai ke rumah mereka, mereka juga nak utiliti iaitu pastikan rumah yang didiami lengkap dengan elektrik dan air.

“Dari segi ekonomi negara, kerajaan perlu berkebolehan membawa pelaburan tempatan mahu pun luar. Ini penting kerana mereka yang tahu berniaga, kerajaan tak tahu berniaga.

“Hasil perkembangan perniagaan mereka dalam negara ini, mereka akan mewujudkan peluang pekerjaan. Ini memenuhi aspirasi cita rasa rakyat,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, pelabur berkenaan pula akan memberi pendapatan kepada negara melalui pelbagai cukai yang dikenakan.

“Dengan pendapatan ini, kerajaan dapat membelanjakan untuk memakmurkan infrastruktur seperti jalan raya yang baik dan lapangan terbang, selain kerajaan perlu buat sekolah dan universiti yang bersesuaian dengan yang rakyat hendak iaitu kualiti pendidikan,” ujar beliau.

Katanya, jika kerajaan tidak dapat menyediakan apa yang rakyat mahukan ini, sesebuah parti yang menang secara dominan dalam pilihan raya tidak akan kekal lama. – MalaysiaGazette