Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abdul Halim.

KUALA LUMPUR – Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan merupakan satu titik untuk semua parti gabungan menyatakan kesepakatan, persetujuan dan kesetiaan kepada kerjasama yang dibentuk selepas PRU15.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abdul Halim berkata, selepas berpuluh tahun masing-masing bermusuhan dalam politik, hari ini mereka sepakat untuk menokhtahkannya.

“Kita berjanji dan menyatakan kesepakatan untuk membentuk sebuah negara yang lebih baik daripada sebelumnya walaupun ia bukan perkara mudah tetapi kita akan berusaha.

“Dengan komitmen bersama, kita yakin Kerajaan Perpaduan yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ini akan menjadi lebih kuat dan meneruskan perjalanan menempuh pelbagai ujian serta dugaan.

“Dugaan dan ujian ini datang daripada parti politik pembangkang yang berfikiran sempat yang sentiasa mencari isu remeh untuk menarik sokongan undi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi wacana bertajuk Politik Sebagai Wadah Anak Muda Membina Bersama Negara di Dewan Tun Dr. Ismail di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC)  hari ini.

Sementara itu panel kedua, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menyifatkan pembentukan Kerajaan Perpaduan bersama 17 parti gabungan adalah demi kestabilan politik negara, agama dan bangsa.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Jelas beliau, usaha sayap UMNO itu bagi memberi kefahaman kepada rakyat ialah dengan turun ke akar umbi berjumpa pelbagai lapisan masyarakat untuk menjelaskan mengenai pembentukan kerajaan.

“Ada yang cakap, rakyat di bawah tidak faham mengenai gabungan kerajaan ini. Ini yang menjadi agenda kita untuk terapkan kefahaman kepada mereka agar faham dengan pentadbiran baharu ini,” katanya.

Dalam wacana itu, beliau turut menyentuh mengenai tuntutan wanita untuk mendapatkan kuota 30 peratus.

Beliau meminta pemuda gabungan parti turut memberi sokongan kepada Wanita UMNO agar tuntutan itu tercapai.

“Mengenai hak 30 peratus untuk wanita, sampai sekarang apabila kita bercakap mengenainya, masih tidak tertunai. Jadi, kita minta Pemuda dan kaum lelaki khususnya turut memberi sokongan kepada kita. Bukan kita nak cakap soal kuota tapi berilah sokongan kepada kami,” katanya.

Manakala panel ketiga, Ketua Pemuda Amanah, Senator Mohd Hasbi Muda pula berpendapat, sebaik gabungan itu dibentuk, Kerajaan Perpaduan sudah berdepan dengan pelbagai cabaran.

Ketua Pemuda Amanah, Senator Mohd Hasbi Muda

Kata beliau, antara cabaran utama ialah soal ekonomi yang menyaksikan 34 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia jauh ketinggalan berbanding Singapura, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Ujarnya, jika bercakap soal pemilikan rumah, anak muda paling berkesan kerana berdepan dengan situasi ekonomi tidak menentu akibat ketidakstabilan kerajaan sebelum ini.

Justeru, beliau meminta kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dibantu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta pimpinan utama parti gabungan memikirkan kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu itu.

“Banyak masalah yang kerajaan perpaduan perlu selesaikan. Malah sekarang ini bukan masa untuk bangga kerana pemimpin terdahulu juga banyak membangunkan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. jom ke laut jaring ikan sama-sama nanti balik ke darat kita bagi sama-sama bolehkan satu kapal..

Comments are closed.