Zaid Najib RM42 juta
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu lebih bijak dan berstrategi untuk memujuk parti pembangkang menyertai Kerajaan Perpaduan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, kalau Pengerusi Pakatan Harapan itu berjaya mengabungkan 19 daripada lebih 30 parti politik di negara ini menyertai kerajaannya, tidak mustahil untuk menarik bakinya.

“Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan semalam berjaya menghimpunkan 19 parti politik di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).

“Di Malaysia ini ada lebih kurang 30 parti politik, dengan dua pertiga daripadanya sudah bersama Kerajaan Perpaduan.

“Kalau Anwar pandai (ambil hati), saya rasa yang baki itu akan masuk dalam gabungan PH, menjadikan sekurang-kurangnya 99 peratus mewakili parti politik Malaysia,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Beliau yakin yang lain akan menyertai Kerajaan Perpaduan sekiranya ditawarkan jawatan.

Katanya, beza antara parti dalam kerajaan dan di luar yang dianggap musuh sebenarnya kerana jawatan saja, selain habuan, peruntukan dan kuasa.

“Apabila kita bagi semua ini kepada mereka, mereka akan sokong kita. Dalam politik Malaysia, kawan dan lawan ini beza sedikit saja. Kawan ialah yang sudah dapat ‘benda’, manakala lawan belum dapat.

“Kalau kita pandai cara, yang lawan itu pun… dengan diberikan peruntukan, tolong selesaikan masalah air, masalah banjir, sudah tentu mereka akan jadi kawan.

“Seperti yang saya kata, garis antara kawan dan lawan itu tidak banyak beza. Janganlah kita ikut sangat penganalisis luar dan tempatan yang selalu hendak memburuk-burukkan parti lawan,” ujar beliau.

Kata Zaid, dakwaan kononnya Pas dan Bersatu parti ekstrim bangsa serta agama adalah keterlaluan.

Menurutnya, mereka ekstrim sebab belum ada kuasa, tetapi selepas berada dalam kerajaan, mempunyai kuasa, tidak ada lagi ekstrim.

“Sama seperti UMNO sebelum ini, juga ekstrim. DAP pun satu masa dikatakan ekstrim, tetapi apabila berada dalam kerajaan, termasuk Pas, tidak nampak mereka ekstrim.

“Jadi, saya cadangkan, dalam kita berlawan politik, kita jangan keterlaluan. Jangan gambarkan lawan ini bahaya kepada negara dan sebagainya kerana mereka ketika itu tidak ada kuasa, itu saja.

“Apabila jawatan dan kuasa dikongsi, maknanya kita bersama. Kita menjadi kawan termasuklah dapat luaskan perimeter ke Kedah, Kelantan dan Terengganu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast