Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia meningkat pada sesi awal dagangan Selasa, dengan indeks penanda aras dibuka tinggi, didorong oleh sentimen serantau yang bertambah baik selepas Wall Street meraih keuntungan semalaman.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.75 mata kepada 1,420.12 daripada 1,417.37 pada penutup Isnin. Indeks utama itu dibuka 0.55 mata lebih baik pada 1,417.92.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 130 berbalas 111, manakala 204 kaunter tidak berubah, 1,797 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 139.28 juta unit bernilai RM50.34 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup pada tahap positif malam tadi di tengah-tengah rundingan mengenai siling hutang AS yang akan disambung semula hari ini, dengan pasaran optimis perjanjian boleh dicapai lebih awal daripada jangkaan.

Di peringkat domestik, beliau berpendapat aktiviti memburu saham murah akan muncul dalam masa terdekat berikutan kemerosotan selama seminggu selain mengunjurkan kedua-dua saham bank dan syarikat telekomunikasi akan menjadi pilihan teratas dalam senarai belian.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks akan berada dalam aliran dalam julat 1,415 dan 1,425 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM8.70 manakala Public Bank, Petronas Chemicals dan CIMB menokok dua sen setiap satu untuk mencatatkan harga RM3.96, RM7.00 dan RM5.00.

HH Healthcare naik empat sen kepada RM5.95. Tenaga, bagaimanapun, susut empat sen kepada RM9.48.

Bagi saham aktif, Vinvest menokok setengah sen kepada 18.5, Bahvest turun setengah sen kepada 11.5 sen, manakala Classita dan VSolar tidak berubah pada 16 sen dan setengah sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 15.98 mata kepada 10,392.61, Indeks FBMT 100 memperoleh 14.76 mata kepada 10,087.87 dan Indeks FBM Emas Syariah mengembang 7.09 mata kepada 10,734.63.

Indeks FBM ACE menokok 11.44 mata kepada 4,992.45 manakala indeks FBM 70 lebih rendah 0.05 mata kepada 13,441.64.

Mengikut  sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.28 mata kepada 166.0, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 42.63 mata kepada 15,532.02 dan Indeks Tenaga mengembang 3.43 mata kepada 830.82.

Walau bagaimanapun, Indeks Perladangan turun 6.33 mata kepada 6,885.39. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast