PDRM
Gambar hiasan

GOMBAK – Seorang lelaki warga asing cedera apabila jatuh dari tingkap sebuah bangunan rumah kedai yang didiami wanita kenalannya selepas cuba melarikan diri daripada dikesan oleh teman wanita.

Nasib malang itu menimpa mangsa yang berusia 30-an itu dalam kejadian yang berlaku semalam di deretan rumah kedai yang terletak di Jalan SBC3, Batu Caves.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pada jam lebih kurang pukul 6.30 petang semalam, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang menemui seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan ada kesan kecederaan di bahagian kaki dan muka di lorong belakang deretan rumah kedai itu.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dariĀ  Gombak telah bergegas ke tempat kejadian itu sebelum hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warganegara asing berumur 30-an.

“Mangsa telah ke sebuah rumah yang terletak di tingkat tiga bangunan rumah kedai tersebut untuk berjumpa dengan kenalan wanitanya.

“Semasa mangsa berada di dalam rumah tersebut, teman wanita mangsa telah ke rumah tersebut untuk mencari mangsa sebelum mangsa panik dan cuba melarikan diri melalui tingkap belakang rumah dan terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zainal Mohamed, mangsa kini berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Selayang untuk menerima rawatan.

Katanya, polis sedang meneruskan siasatan dan mahu kerjasama orang orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian agar diminta tampil segera membantu siasatan kes tersebut. – MalaysiaGazette