prabayar internet
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Keputusan permohonan geran-geran utama industri digital akan diumumkan pada Julai ini, tertakluk kepada  jumlah permohonan yang diterima.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, geran-geran utama industri digital yang dikeluarkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerima sambutan yang menggalakkan sejak dibuka permohonannya bermula 2 Mei 2023 yang lalu.

Ini dibuktikan dengan kehadiran hampir 1,000 penggiat industri digital ke sesi taklimat yang diadakan secara maya pada 9 Mei 2023, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Geran tersebut ialah Geran Kandungan Digital (DCG), Geran Malaysia Digital X-Port (MDXG) dan Geran Pemangkin Malaysia Digital (MDCG).

Menurutnya, lebih 300 soalan dan maklumat berkenaan kriteria kelayakan permohonan geran telah dikemukakan oleh penggiat industri digital yang hadir.

DCG 2023 memfokuskan kepada pembangunan industri kreatif digital, menyediakan empat cabang geran lain iaitu Geran Projek Mini, Geran Pembangunan, Geran Produksi dan Geran Pemasaran dan Pengkomersialan.

MDXG khusus memberi tumpuan kepada syarikat tempatan yang membuktikan kesediaan untuk mengeksport produk, aktiviti atau perkhidmatan teknologi yang bernilai tinggi, inovatif dan mampan untuk pasaran global dengan tempoh projek maksimum selama setahun.

Manakala MDCG memberi bantuan kepada syarikat teknologi bagi merangsang penggunaan serta pembangunan penyelesaian lestari dan inovatif selari dengan sektor-sektor yang dipromosikan oleh Malaysia Digital (MD) berteraskan teknologi 4IR dengan tempoh projek maksimum setahun.

Geran-geran ini bernilai RM150,000 hingga RM2 juta kepada syarikat, perusahaan, syarikat milikan tunggal atau perkongsian liabiliti terhad (LLP) yang melibatkan empat bidang kandungan digital iaitu animasi, permainan digital, komik digital dan teknologi kreatif.

Permohonan yang terpilih perlu menghadiri sesi pembentangan yang dijadualkan berlangsung pada Jun 2023.

“Saya menggesa lebih ramai penggiat industri kreatif tempatan mengambil peluang memohon geran-geran yang disediakan bagi memanfaatkan peluang untuk kekal utuh
berdaya saing dalam pasaran tempatan sekali gus menembusi pasaran global,” ujarnya.

Tarikh tutup permohonan geran adalah pada 1 Jun 2023 dan maklumat lanjut boleh didapati di www.mdec.my/grants. – MalaysiaGazette