Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Pas akan mengumumkan beberapa nama bekas pemimpin yang dianggapnya sebagai besar dalam arena politik yang bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) awal Jun ini.

Perkara tersebut dinyatakan Naib Presidennya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, walaupun tidak memberi sebarang komen apabila ditanya media adakah nama itu termasuk bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau sebaliknya meminta media sabar menunggu awal Jun ini untuk mengetahui ‘nama besar’ yang dimaksudkannya.

“Setakat ini, saya tidak boleh kata ya atau tidak, tapi Insya-Allah dalam tempoh terdekat ini kita akan ada pengisytiharan penyertaan beramai-ramai dalam Pas dan Bersatu.

“Tunggu awal Jun ini kita akan buat pengumuman di Lembah Klang, Selangor. Ada daripada parti UMNO dan lain-lain pun ada dan yang ramainya daripada UMNO,” katanya dalam satu majlis di Terengganu, hari ini.

Sebelum ini, beberapa nama disebut bakal menyertai Pas, antaranya bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa; bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar.

Namun, Dr. Mahathir yang mengumumkan keluar dari Gerakan Tanah Air (GTA) telah menyatakan keputusannya untuk memberi tumpuan kepada Proklamasi Orang Melayu.

Sementara itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu menjelaskan, Pas negeri itu di peringkat rundingan akhir dengan parti gabungan PN dalam pengagihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau memberi bayangan, rundingan itu dijangka selesai kurang dua minggu dari sekarang.

“Kita akan adakan perjumpaan di Kuala Lumpur untuk memuktamadkan di peringkat Jawatankuasa Perunding, selepas itu nama calon dan kerusi DUN akan dibawa ke Majlis Presiden untuk keputusan muktamad,” katanya. – MalaysiaGazette