rejim zionis
Hamzah Zainudin.-Foto FAREEZ FADZIL, 11 November 2022.

KUALA LUMPUR – Serangan ganas Israel ke atas Gaza termasuk mengebom hospital dan pelbagai kemudahan awam sehingga membunuh lebih 33 rakyat Palestin dan mencederakan 150 yang lain memperlihatkan sikap teroris sebenar rejim Zionis.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, siri kezaliman dan kejahatan ke atas rakyat Palestin yang tidak berdosa itu juga merupakan tindakan berunsur aparteid terhadap hak asasi rakyat Palestin serta jenayah perang yang perlu dihukum oleh seluruh masyarakat antarabangsa.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional memberitahu, serangan terbabit juga jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip-prinsip kemanusiaan sejagat.

“Sehubungan itu, PN mengutuk sekeras-kerasnya jenayah kemanusiaan ini dan kami bersolidariti bersama kerajaan sebagai suara Malaysia yang sentiasa berdiri teguh di belakang rakyat Palestin.

“Justeru, PN menggesa kerajaan Malaysia segera memimpin gerakan menyeru masyarakat antarabangsa untuk memberikan tekanan mendalam kepada Israel bagi menghentikan dengan serta-merta pencerobohan dan serangan keganasan ke atas rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Serangan udara Israel ke atas Gaza baru-baru ini turut meragut nyawa orang awam termasuk kanak-kanak yang tidak berdosa. – MalaysiaGazette