KUALA LUMPUR – BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia kepada 4.2 peratus pada tahun ini berbanding 4.0 peratus sebelum ini berikutan pengembangan 5.6 peratus yang lebih baik daripada jangkaan pada suku pertama (S1).

Firma penyelidikan itu berkata prestasi S1 Malaysia jauh melebihi konsensus dan jangkaan sendiri iaitu pada 4.8 peratus.

“Bagaimanapun, gambaran itu bukanlah menceriakan. Angka (pertumbuhan) terkini masih sepadan dengan kelembapan mendadak, daripada 7.1 peratus pada suku keempat 2022 (S4 2022).

“Atas asas pelarasan musim, lantunan semula 0.9 peratus suku ke suku tidak cukup besar untuk membalikkan penguncupan 1.7 peratus pada suku keempat (S4) tahun lepas,” katanya dalam laporan tinjauannya untuk Malaysia hari ini.

BMI juga menjangkakan penggunaan swasta berkembang sebanyak 5 peratus tahun ini, rendah dengan ketara daripada 11.3 peratus pada 2022 disebabkan simpanan isi rumah yang merosot dan keadaan monetari yang lebih ketat.

Ia percaya rangsangan ekonomi pada separuh kedua 2022 berpunca daripada kesan asas dan permintaan terpendam berikutan kelonggaran sekatan Covid-19 telah berkurangan dan isi rumah mengeluarkan simpanan mereka dengan ketara sejak April tahun lalu.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan untuk tidak lagi membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang mana ia dibolehkan ketika pandemik.

“Seiring dengan kenaikan terkumpul 125 mata asas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sejak 2022, kami menjangkakan penggunaan swasta akan terus perlahan pada suku-suku akan datang,” tambah firma penyelidikan itu.

BMI berkata, impak kos pinjaman yang tinggi juga akan dirasai oleh perniagaan, yang menyokong unjuran untuk pertumbuhan pelaburan perlahan kepada 2.3 peratus daripada KDNK pada 2023 berbanding 7.5 peratus pada 2022.

Landskap perniagaan juga kekal mencabar apabila Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor pembuatan Malaysia mencapai 48.8 pada bulan April, menandakan bulan kelapan berturut-turut yang mana bacaan kekal di bawah paras 50.0.

Selain itu, tinjauan mengenai kecenderungan perniagaan kekal di bawah paras 2022 dan menunjukkan bahawa sentimen kekal lemah.

Bagi eksport, BMI mengunjurkan pertumbuhan “akan perlahan kepada satu peratus pada 2023 daripada 12.8 peratus pada 2022 di tengah-tengah kelembapan dalam ekonomi global.”

“Pasukan global kami memang menjangkakan pertumbuhan ekonomi global akan berkurangan daripada 3.1 peratus pada 2022 kepada 2.1 peratus pada 2023.

“Sebaliknya, kami percaya industri semikonduktor mungkin mula merosot pada separuh kedua berdasarkan kitaran lalu, manakala pembukaan semula ekonomi China seharusnya memberi petanda baik bagi sektor pelancongan Malaysia,” katanya.

Secara keseluruhannya, BMI berkata pemulihan ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan yang berpunca dari China akan memberi petanda baik bagi ekonomi Malaysia yang berorientasikan eksport kerana republik itu merupakan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia, mencakupi hampir 13 peratus daripada jumlah penghantaran keluar negara. – BERNAMA