Buat julung kalinya Coldplay mengadakan konsert di Malaysia pada 22 November 2023

KUALA LUMPUR- Tiket konsert kumpulan rock Britain, Coldplay di Malaysia habis terjual kira-kira tiga jam setengah selepas ia dibuka kepada umum hari ini.

Penganjur konsert, Live Nation dalam hantaran di Instagram memaklumkan, tiket konsert pada 22 November di Stadium Bukit Jalil itu habis dijual jam 1.30 tengahari tadi.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua di atas sokongan yang amat luar biasa kepada konsert Coldplay.

“Tidak sabar untuk bertemu anda semua,” katanya.

Sama seperti semalam, para peminat kumpulan yang terkenal dengan lagu Yellow, The Scientist dan Paradise itu bagaikan berperang untuk mendapatkan tiket konsert Coldplay yang julung kali diadakan di Malaysia.

Tiket konsert bertajuk Music of the Spheres itu dijual pada harga antara RM228 sehingga RM3,088.

Live Nation turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli tiket daripada penjual tidak sah.

Tinjauan Malaysia Gazette di media-media sosial menunjukkan banyak tiket konsert Coldplay dijual semula pada harga berlipat kali ganda.-MalaysiaGazette