KUALA LUMPUR – Syarikat Bumiputera, AlphaCapital (M) Berhad melaburkan sebanyak RM1.5 juta dalam industri makanan dan minuman dalam usaha mempelbagaikan rangkaian bisnes mereka di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Mahadzir Fadaak berkata, pelaburan itu dibuat kerana pihaknya optimis dengan industri itu selepas menubuhkan syarikat subsidari K-Town Alpha dengan membuka sebuah restoran makanan Korean di bawah jenama K-Town.
Menurut beliau, selepas K-Town mendapat sambutan menggalakan, AlphaCapital telah memperuntukan sebanyak RM700,000 daripada pelaburan itu untuk membuka Restoran Hong Kong halal pertama dikenali Daigor.
“Restoran pertama kami K-Town iaitu sebuah restoran makanan Korean mempunyai reputasi yang sangat baik dan sehingga kini telah mempunyai tiga cawangan.
“Justeru, kami yakin Daigor juga bakal mendapat tempat dihati peminat yang yang menggemariu masakan Cina.
“Insya-Allah selepas ini kami akan memperkenalkan hidangan lokal atau mamak,namun kami perlu mengkaji pasaran terlebih dahulu agar hadir dengan olahan resipi tempatan yang lebih baik, sekaligus dapat dikomersilkan ke tahap lebih tinggi,” katanya pada pembukaan Daigor baru-baru ini.
Daigor beroperasi di di Jumpa @ Sungei Wang, Bukit Bintang merupakan restoran halal Cina Muslim pertama memperkenalkan keaslian citarasa masakan Hong Kong.
Sementara itu, pengasas Daigor, Andy Goh, berkata, keunikan masakan Cina Muslim Hong Kong berbanding lambakan restoran seumpamanya, terletak pada olahan menu yang serasi dengan selera lokal.
“Ada banyak restoran Cina Muslim di negara ini tetapi mungkin rasanya sukar diterima masyarakat Malaysia yang sukakan pada masakan pedas dan berempah. Sebaliknya hidangan Cina Muslim Hong Kong ia kena dengan tekak orang kita.
“Selain itu kesukaran peminat masakan Cina untuk mendapatkan hidangan halal seperti itik dan ayam panggang membuka ruang dan peluang Daigor Hong Kong Muslim Restaurant meneroka pasaran halal,” katanya.
Tambah beliau, Diagor melalui proses penyelidikan dan pembangunan selama tujuh bulan bagi mendapatkan rasa yang paling hampir dengan hidangan asal, sebelum sedia disajikan kepada umum.
Malah ramuan dan cara penyediaan makanan mengikut standard halal yang ditetapkan.
“Saya adalah bekas pramugara. Pengalaman menjelajah pelbagai negara dan berpeluang merasai aneka jenis hidangan luar membuatkan saya terfikir untuk membawanya balik ke kampung halaman saya, Kuala Lumpur.
“Sedar bahawa masakan Cina juga digemari orang Melayu, kami sangat titikberatkan ramuan halal dan dalam permohonan mendapatkan pengiktirafan sijil Halal.
“Kami mempunyai central kitchen yang akan memastikan semua makanan yang disediakan memenuhi standard halal yang ditetapkan,” katanya.
Memilih itik panggang antara menu istimewa Daigor, jelas Andy, hidangan ini menjanjikan pengalaman gastronomi yang cukup menyelerakan.
“Menu signature kami ialah itik panggang dan diakui banyak dijual namun sukar nak dapatkan yang halal manakala menu Cheese Baked Rice dan pelbagai jenis daging, makanan laut, charcoal custard lava bun dan juga air kopi antara keistimewaan yang ditawarkan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, pada majlis perasmian Daigor, pihak pengurusan restoran ini turut menaja makan malam sempena Meet & Greet bintang berbakat besar Indonesia, Andmesh Kamaleng bersama peminat.
Konsert pelantun lagu Hanga Rindu itu bakal berlangsung pada 4 Jun 2023 di Plenary Hall, KLCC, ditaja oleh Kamya Glow iaitu produk kesihatan dan kecantikan di bawah payung AlphaNeyaga Sdn. Bhd, yang juga sebuah syarikat subsidari Alphacapital. – MalaysiaGazette