Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi - foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2020.

SHAH ALAM – Keputusan kerajaan perpaduan menarik balik kes rayuan di Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan seorang penganut Kristian mahu menggunakan kalimah Allah dibuat tanpa merujuk kepada pemegang taruh.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, tindakan itu menunjukkan kerajaan perpaduan yang didokong parti DAP sebagai gagal melindungi kesucian agama Islam melalui proses perundangan dan pengadilan mahkamah.

Katanya, keputusan itu juga dibimbangi akan mencetuskan suasana tegang, sekali gus merosakkan perpaduan kaum di negara ini dan Selangor khususnya.

“Merujuk kenyataan media Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan keputusan itu semalam dilihat membelakangkan titah Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

“Baginda menitah agar rayuan terhadap keputusan itu dilakukan bagi memelihara kemuliaan kalimah Allah dan kesucian agama Islam selaras kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri 2014.

“Titah Sultan Selangor pada 23 Mac 2021 turut mempertahankan peruntukan undang-undang di Negeri Selangor melalui Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang jelas menghalang penggunaan 25 perkataan tertentu antaranya Allah, Ibadah, Kaabah dan Mubaligh daripada digunakan oleh agama lain di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 18 April lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution memaklumkan telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes rampasan bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah milik Jill Ireland di LCCT Sepang, Selangor.

Kes itu, katanya, dijadualkan dibicara esok atas alasan percanggahan pentadbiran berkenaan keputusan Kabinet pada 19 Mei 1986 dan arahan Kementerian Dalam negeri pada 5 Disember 1986.

Sehubungan itu, beliau menggesa pegawai penguatkuasa Kastam Diraja Malaysia (KDM) untuk terus memperketatkan pemeriksaan bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah di semua pintu masuk laluan laut dan udara di Selangor termasuk di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

“Pas dan rakan di Selangor komited memelihara kesucian dan memartabatkan agama Islam seterusnya mengembalikan kegemilangan serta kemakmuran di negeri ini khususnya,” katanya. – MalaysiaGazette