Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengesahkan penahanan seorang pegawai agensi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Ops Hire 2.0 bagi membantu siasatan kerana disyaki terlibat menerima suapan bagi meluluskan permohonan tuntutan Program Insentif Pengambilan Pekerja di bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana).

PERKESO menegaskan, ia tidak akan mencampuri urusan tersebut dan akan memberi kerjasama serta menyerahkan sepenuhnya kepada pihak SPRM untuk menjalankan
penyiasatan ke atas pegawai berkenaan sehingga selesai.

Semalam, SPRM memaklumkan seorang pegawai agensi kerajaan dicekup selepas disyaki menerima wang habuan ribuan ringgit daripada seorang pemilik syarikat sebagai upah meluluskan permohonan tuntutan bernilai RM1.3 juta.

Lelaki berusia dalam lingkungan lewat 20-an itu ditahan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya kira-kira jam 4 petang, semasa diminta hadir memberikan keterangan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pegawai agensi terima habuan lulus tuntutan Penjana ditahan