Datuk Zawawi Othman

KUALA LUMPUR – UMNO Kelantan mengingatkan bekas Ketua Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa tidak perlu menyebut angka ahli parti itu yang akan menyertai Pas bersamanya.

Ketua Penerangannya, Datuk Zawawi Othman berkata, UMNO sudah masak dengan cara Annuar berpolitik dan membuat propaganda terutama terhadap parti lawan sebelum ini.

“Saya meneliti sidang media Annuar sebentar tadi. Bagi saya tidak perlulah bersikap propa dengan sekadar menyebut sahaja angka ahli UMNO yang akan menyertai Pas. Kita sudah masak dengan cara beliau ini.

“Annuar sepatutnya mengajak anak dia yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Ketereh terlebih dahulu menyertai Pas sebelum berkempen orang lain mengikut jejak langkahnya.

“Orang luar akan lihat, kalau anak kandung beliau sendiri pun tidak yakin tindakan ini, apatah lagi orang lain. Bak kata orang Kelantan, debek benar (tidak masyhur) kalau anak sendiri pun tak ikut dengan perjuangan ayahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Annuar yang merupakan Presiden Pertubuhan Muafakat Nasional (MN) mengesahkan menghantar permohonan menjadi ahli Pas hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, keputusan dibuat selepas meneliti scenario politik negara dan juga keadaan dalam UMNO itu sendiri.

Zawawi bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan Annuar menyertai Pas kerana hendak mencari tapak sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Saya juga mengingatkan kepada Pas supaya berhati-hati dengan langkah Annuar ini. UMNO telah masak dengan ragam dan perangai beliau. Silap haribulan Pas pula akan terjerat dengan mind games beliau,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Annuar Musa sah mahu sertai Pas