Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sah mahu menyertai Pas.

Annuar yang juga mantan Ketua UMNO Bahagian Ketereh juga mengesahkan beliau telah mengemukakan permohonan namun belum mendapat sebarang kata putus daripada kepimpinan Pas.

“Bukan 10 orang, lebih daripada 1,000 bersama-sama dengan saya insya-Allah pada minggu kedua bulan Jun, kita hanya sekarang sedang menunggu keputusan daripada parti Pas.

“Saya mengesahkan saya telah membuat permohonan sertai Pas, terpulanglah pada Pas untuk menerima saya atau pun tidak kerana saya ini bukan sesiapa pun.

”Keputusan yang saya buat menyertai Pas setelah saya meneliti secara dekat dan mendalam senario politik negara dan juga keadaan berlaku dalam politik UMNO itu sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Muafakat Nasional (MN) hari ini.

Perikatan Nasional (PN) dijangka akan mengumumkan kemasukan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu serta lebih 10 bekas pemimpin UMNO untuk menganggotai parti itu.

Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pula dilihat seperti menunjukkan minat untuk menyertai Bersatu. -MalaysiaGazette