badal haji
Syed Saleh Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menyarankan orang ramai terutamanya umat Islam di Malaysia agar lebih berhati-hati dengan tawaran badal atau upah haji oleh agensi pelancongan atau individu tertentu.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, setiap individu dari luar Mekah perlu mendapatkan visa haji untuk melaksanakan ibadat haji yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Menurut beliau, penduduk tempatan pula perlu mendapatkan permit kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

“TH akan terus mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjagajaga bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

“Tawaran badal haji jika sekitar RM1,000 sehingga RM3,500 ke atas itu terlampau murah jika dibandingkan dengan harga asal permit haji yang harganya paling rendah adalah sekitar SR4,000 (RM4,800) dan lain-lain perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh penduduk tempatan Arab Saudi untuk menunaikan ibadat haji,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Syed Saleh menambah, TH dan anak-anak syarikatnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk promosi, penawaran atau penyediaan perkhidmatan badal haji. – MalaysiaGazette