Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Mohd Yunus Sakmud melawat ruang pameran selepas Program Suara Nadi Kehidupan sempena Hari Suara Sedunia 2023 di NIOSH, Bangi, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 20 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang mengkaji polisi atau cara terbaik untuk melindungi keselamatan peti suara terutamanya golongan yang menggunakan suara demi pendapatan.

Timbalan menterinya, Mustapha Sakmud berkata, setakat ini, beberapa negara luar seperti Amerika Syarikat (AS) sudah mempunyai polisi menjaga keselamatan peti khasnya golongan profesional yang menggunakan suara untuk kerjaya seperti artis, pendidik dan penceramah.

“Saya difahamkan di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz UKM, kira-kira 30 peratus pesakit yang dirujuk kepada ahli terapi pertuturan untuk proses rawatan merupakan pengguna suara profesional iaitu mereka yang bergantung pada suara sebagai punca pendapatan.

“Pihak kementerian melihat isu ini amat signifikan dan membantu pihak-pihak terbabit untuk mencari jalan melindungi para profesional suara yang juga merupakan golongan pekerja penting demi kemajuan negara.

“Melalui agensi-agensi bawah KSM seperti NIOSH dan PERKESO, kita akan sama-sama melihat isu ini secara menyeluruh agar dapat mencari jalan penyelesaian yang komprehensif demi menjamin kebajikan para pekerja yang bergantung pada suara mereka.

“Saya amat yakin NIOSH dan PERKESO mampu membantu pihak terbabit untuk menjalankan penyelidikan, membangunkan modul latihan serta menyediakan pelan perlindungan untuk golongan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian program bertemakan ‘Suara Nadi Kehidupan’ sempena Sambutan Hari Suara Sedunia 2023 yang disambut pada 16 April setiap tahun seluruh dunia hari ini.

Pada masa sama, Mustapha turut memohon supaya golongan itu mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan vokal mereka terjaga.

“Sementara kita tunggu pelan pembangunan dan perlindungan komprehensif untuk keselamatan peti suara, adalah penting untuk kita jaga vokal kita. Dapatkan bantuan profesional apabila berdepan dengan masalah berkaitan organ ini bagi bantu cegah kerosakan serius serta pemulihan cepat,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast