Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Gerakan mendesak Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia selepas prestasi buruk dalam sejarah Sukan SEA dan gagal mencapai sasaran 40 pingat emas di Kemboja.

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, Hannah tidak perlu berdolak-dalih dan cuba menyalahkan ketidakstabilan politik penyebab prestasi corot pasukan negara sebaliknya perlu bertanggungjawab atas kegagalan itu.

“Menteri sekarang sudah jadi kerajaan, bukan pembangkang lagi, semasa dia jadi pembangkang, kamu boleh memberikan alasan itu.

“Tapi sudah jadi kerajaan, sudah jadi menteri, kena bertanggungjawab bila tak dapat pingat (sasaran), kena mohon maaf secara terbuka.

“Tak payah salahkan ini salah ketidakstabilan politik di negara kita,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Gerakan di Menara PGRM hari ini.

Semalam, media melaporkan Hannah mengatakan ketidakstabilan politik negara sejak lima tahun kebelakangan ini turut memberi impak kepada kegagalan kontinjen negara di pentas Sukan SEA Kemboja 2023.

Hannah memberitahu, segala perancangan, peruntukan mahu pun persiapan terjejas disebabkan struktur politik negara yang sering berubah.

Dalam pada itu, Dominic berkata, alasan yang diberikan Hannah tidak sewajarnya dibuat kerana ketika negara berdepan pandemik Covid-19, kontinjen negara mampu menyumbang pingat emas yang banyak dalam kejohanan lalu.

“Saya minta menteri jangan salahkan situasi politik di negara kita kerana semasa Covid-19, kita pun boleh dapat 39 pingat emas.

“Situasi sekarang kerajaan campuran sudah menang, sudah menubuhkan kerajaan tapi tak dapat pingat emas yang disasarkan,” katanya.

Katanya lagi, selepas membuat permohonan maaf, Kementerian Belia dan Sukan perlu membuat bedah siasat agar kegagalan itu tidak diulangi dalam kejohanan sukan akan datang.

“Memohon maaf sahaja bukan susah, jika tak dapat pingat emas seperti sasaran itu, buat post mortem, ambil tindakan pembetulan, buat apa beri alasan kerana ketidakstabilan politik.

“Kita nak Menteri yang bertanggungjawab, bukan asyik beri alasan yang tidak berasas, dan menyalahkan kerajaan dahulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast