KUALA LUMPUR – Aktres dan ahli perniagaan terkenal, Rozita Che Wan mengesahkan anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana, dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan gigi dipanggil Supernumerary Mesiodens Tooth semalam.
Katanya yang mesra disapa Che Ta, Aaisyah yang akan genap sembilan tahun November depan lebih banyak tidur dan berehat selepas menjalani pembedahan berkenaan.
Kata Che Ta lagi, pembedahan itu dilakukan di hospital pakar Global Doctors di Mont Kiara di bawah kendalian serta pemantauan tiga doktor.
“Ikutkan sejak beberapa bulan lalu, Aaisyah sering mengadu tidak selesa di bahagian giginya.
“Jadi selepas dipermudahkan, pembedahan berjaya dilakukan hari ini. Menurut doktor, kes seumpama ini agak jarang terjadi iaitu kewujudan gigi lebih di bahagian tengah.
“Kata doktor lagi, secara umumnya di dalam dunia ini ada sekitar 0.5 hingga tiga peratus kes seumpama itu,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Tambah pelakon yang terkenal menerusi drama Kiah Pekasam itu, pembedahan tersebut perlu untuk membolehkan pertumbuhan gigi kekal baharu yang lain.
“Masa melakukan CT Scan baru-baru ini, baharu nampak masalah yang timbul. Apabila dilakukan x-ray memang wujud masalah itu,” katanya.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu dalam masa sama bersyukur kerana anak perempuannya memilik semangat yang kuat.
“Terima kasih yang mendoakan kesihatan dan keadaannya,” kata isteri kepada Zain Saidin itu.
Semalam, Che Ta memuat naik beberapa keping gambar Aaisyah di Instagram sebelum dan selepas menjalani pembedahan Supernumerary itu. – MalaysiaGazette