Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Indeks penanda aras Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak lebih tinggi minggu depan, dipacu oleh sentimen pasaran yang lebih baik ditambah dengan keyakinan terhadap musim pelaporan korporat yang positif.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, penilaian ke atas ekuiti Malaysia masih lebih murah berbanding ekuiti serantau, justeru, saham tempatan menawarkan potensi peningkatan yang lebih baik untuk pelabur asing.

Beliau berkata walau bagaimanapun, pelabur mungkin sentiasa berwaspada terhadap turun naik pasaran yang amat ketara serta ketidakpastiannya.

Perkembangan luar seperti semakan siling hutang Amerika Syarikat (AS) juga akan menjadi perhatian pelabur, katanya.

“Selain itu, kami yakin sebahagian pelabur akan mengalihkan perhatian mereka kepada pelaporan keuntungan korporat memandangkan musim pelaporan akan bermula minggu depan dan seterusnya.

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI didagangkan dalam julat 1,420 hingga 1,435 untuk minggu depan. Dari sudut pandang teknikal, kami menetapkan rintangan serta-merta pada 1,440 dan sokongan pada 1,415,” katanya kepada Bernama.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 5.62 mata untuk mengakhiri dagangan minggu ini pada 1,428.54 berbanding 1,422.92 minggu lepas.

Bursa tempatan mengalami corak dagangan yang tidak menentu sepanjang minggu, dipengaruhi terutama oleh faktor luaran termasuk kebimbangan terhadap situasi siling hutang AS dan pengeluaran data ekonomi China — jualan runcit dan pengeluaran perindustrian.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 59.10 mata kepada 10,474.75; Indeks FBMT 100 menambah 58.97 mata kepada 10,170.36; Indeks FBM Emas Syariah naik 53.59 mata kepada 10,829.51; Indeks FBM 70 melonjak 157.59 mata kepada 13,645.75 manakala Indeks FBM ACE menokok 18.42 mata kepada 5,002.9.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 69.89 mata kepada 7,026.55; Indeks Tenaga menambah 10.14 mata kepada 839.53, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 92.95 mata kepada 15,606.23.

Walau bagaimanapun, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 2.13 mata kepada 164.99.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 13.33 bilion unit bernilai RM8.18 bilion  daripada 15.43 bilion unit bernilai RM8.75 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 8.39 bilion saham bernilai RM7.05 bilion daripada 9.67 bilion saham bernilai RM7.25 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran pula sebanyak 1.85 bilion unit bernilai RM288.01 juta berbanding 1.64 bilion unit bernilai RM264.73 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 3.08 bilion saham bernilai RM830.39 juta daripada 4.11 bilion saham bernilai RM1.24 bilion minggu lepas. – BERNAMA