MADRID – Pemain sayap Real Madrid, Vinicius Jr mengkritik La Liga sebagai liga paling perkauman selepas dia diejek ekoran kekalahan 0-1 di tangan Valencia.
Pemain Brazil berusia 22 tahun itu berkata, La Liga kini telah memberi imej buruk kepada negara Sepanyol di mata dunia terutama di negaranya.
“Kejuaraan yang pernah dimiliki Ronaldinho, Ronaldo, Cristiano, Messi kini menjadi milik mereka yang rasis.
“Bukan pertama kali, bukan kedua kalinya dan bukan ketiga kalinya, La Liga seolah olah menganggap perkauman adalah normal,” luahnya di Instagram miliknya.
Dalam aksi antara Valencia dengan Real di Mestalla, pemain antarabangsa Brazil itu diejek dengan bunyi monyet terutama ketika dia terlibat dalam percakaran dengan pemain Valencia hingga menyebabkan dia dibuang padang.
Vinicius memberitahu pengadil tentang individu yang mengejeknya secara rasis namun dia ditenangkan pengadil dan pemainlain.
Namun dia kecewa ketika berdepan dengan satu lagi insiden seperti itu membuatkannya menangis selepas stadium Mestalla membuat ejekan monyet ke atasnya.
Menurut Vinicius, apa yang menimpanya membuatkan rakyat di negaranya menganggap Sepanyol sebagai negara rasis.
“Orang Sepanyol mungkin tidak setuju namun di Brazil mereka menganggap Sepanyol sebagai negara rasis. Dengan apa yang berlaku setiap minggu di sini, saya tidak dapat mempertahankan negara ini,” katanya.
Namun Vinicius tidak berhasrat untuk meninggalkan Real balah bertekad akan terus melawan perkauman di negara tersebut.
Dia sudah menandatangani kontrak jangka panjang yang baharu dengan Real Madrid pada bulan lalu, menurut pakar perpindahan Fabrizio Romano.
Vinicius menjadi antara pemain sayap terbaik di Eropah dalam beberapa musim kebelakangan ini.
Dia juga menjadi pemain penting Real Madrid, dalam membentuk gandingan bersama dengan Karim Benzema.
Pengurus Real, Carlo Ancelotti turut mendesak La Liga lebih tegas dalam isu perkauman melibatkan Vinicius.
Dia juga telah memberitahu pengadil agar menghentikan perlawanan setelah mendengar satu stadium berterusan mengejek Vinicius namun pengadil tidak mengendahkannya. – Agensi