Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sivil di sini menolak permohonan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng daripada menangguhkan keputusan bayar ganti rugi saman fitnah sebanyak RM2 juta kepada syarikat MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya, Jessy Lai kerana didakwa memfitnahnya enam tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir memutuskan permohonan itu tidak mempunyai sebarang sebab khas bagi penangguhan.

Akhtar juga telah memerintah pemimpin DAP itu membayar kos sebanyak RM3,000 kepada Monspace dan Jessy Lai ketika prosiding secara Zoom hari ini.

Sebelum ini, pada 16 Mac lalu, mahkamah telah memerintahkan Lip Eng membayar gantirugi sebanyak RM2 juta dan juga permohonan maaf kerana didapati bersalah mengeluarkan kenyataan fitnah.

Mahkamah mendapati Lip Eng yang dinamakan sebagai defendan telah memfitnah dan mencemarkan nama baik syarikat itu dan Lai pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

“Defendan tidak menafikan bahawa beliau telah membuat kenyataan tersebut dan kenyataan itu telah diterbitkan. Adalah jelas daripada kenyataan yang dibuat, ia merujuk kepada kedua-dua plaintif.

“Kenyataan itu juga dengan jelas menggambarkan bahawa plaintif telah merasuah pegawai kanan kerajaan dan plaintif telah menjalankan perniagaan yang melanggar undang-undang termasuk menipu 19 warganegara China,” kata Akhtar ketika itu.

Lip Eng kemudian membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan mahkamah sivil itu selain berjaya mengutip RM2.25 juta daripada dana awam untuk tindakan undang-undang tersebut.

Lai dan MonSpace memfailkan saman terhadap Lip Eng pada Jun 2019 kerana mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan memfitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris dan Cina bahawa mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur dari negara China.

Lip Eng didakwa membuat kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu yang dikatakan pelabur MonSpace ke pejabat Lai dan kemudiannya membuat laporan polis.

Beliau mendakwa kenyataan itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa termasuk polis, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengambil tindakan terhadapnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast