Chong Sin Woon

KUALA LUMPUR – MCA menasihatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak mengutamakan kepentingan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon berkata, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sebaliknya harus menjaga kepentingan dan mengutamakan parti-parti dalam komponen BN.

Sin Woon bertegas, Ahmad Zahid sebagai Pengerusi BN beliau perlu berpegang dengan prisip dan berhati-hati dengan PH.

“Pengerusi Barisan Nasional (BN), YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dinasihatkan agar berpegang kepada prinsip dan berhati-hati dalam segala perkara berkaitan hubungan atau kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Perlu diingatkan bahawa sebagai Pengerusi BN, beliau haruslah menjaga kepentingan dan mengutamakan parti-parti komponen dalam BN, bukannya mengutamakan PH terutamanya DAP,” kata Sin Woon.

Beliau berkata, kerjasama dengan BN dan PH perlu ada timbal balas dan sepatutnya menguntungkan kedua-dua pihak.

“Ditegaskan juga bahawa apa jua pendirian dan pandangan oleh Parti MCA mestilah dikeluarkan oleh pemimpin MCA, khususnya Presiden MCA sendiri, bukannya pihak lain,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Beliau bagaimanapun tidak menerangkan kenyataan atau tindakan yang telah dilakukan Ahmad Zahid sehingga memaksa MCA mengeluarkan nasihat berkenaan kepada Presiden UMNO itu.

Bagaimanapun Pengerusi BN itu ada mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO mempunyai pendekatan tertentu supaya penyokong parti itu turut menyokong parti komponen Kerajaan Perpaduan termasuk DAP.

Menurutnya, kaedah yang sama akan digunakan ketika mendapatkan sokongan ahli UMNO untuk menyokong calon parti lain dalam komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC.

“Dalam hal ini, ia bukan atas nama parti sebaliknya atas rasa kebersamaan parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Justeru serahkan kepada kami untuk santuni kumpulan sasaran kami kerana persepsi yang negatif ini ketika Perdana Menteri 22 tahun yang menampakkan rasa kebencian terhadap parti tertentu.

“Bukan mudah, namun tidak mustahil untuk dilakukan,” katanya pada sidang media di Majlis Mesra Aidilfitri anjuran FELCRA Berhad, baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan, pengundi UMNO di enam negeri yang akan menghadapi PRN diminta memangkah calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.