KUALA LUMPUR – Keyakinan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa gabungan itu yakin mampu meraih sokongan sekurang-kurangnya 70 peratus undi, terutama undi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), akan datang dibidas DAP.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, cakap-cakap besar Muhyiddin itu hanya akan memberikan kekecewaan kepada dirinya selepas PRN kelak.

“Itu pandangan dia (Muhyiddin), ini kempen PRN mana-mana pihak boleh cakap apa sahaja.

“Yang penting jadi penentunya adalah rakyat, jadi sesiapa pun boleh cakap besar tapi saya rasa orang yang cakap besar itu biasanya akan kecewa,” katanya menjawab pertanyaan media di lobi Parlimen, hari ini.

Sabtu lalu, Muhyiddin berkata keyakinan itu berdasarkan kajian dan fakta menunjukkan gabungan Bersatu, Pas, Gerakan yang bakal bertanding PRN di enam negeri di Semenanjung berada di hadapan dari segi populariti dan kepemimpinan.

Ketika ini, katanya, rakyat sudah boleh menilai dan PRN akan datang bakal menjadi penanda aras baharu mengenai hala tuju masa depan politik negara.

Ditanya kenyataan Muhyiddin tidak pernah pernah mengarahkan ahlinya menyokong calon DAP, Anthony Loke berkata, Pengerusi Perikatan Nasional itu mungkin lupa bahawa ahli DAP pernah menyokong beliau pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

“Dia mungkin sudah lupa, dia dulu pun bersama PH, dulu sudah tentu berkempen untuk DAP dan PH.

“Begitu juga DAP berkempen untuk dia di Parlimen Pagoh kalau bukannya pengundi-pengundi PH menberikabn undi kepada beliau tidak mungkin beliau menang sebab masa PRU14 atas sokongan pengundi PH juga,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast