Foto Instagram Khairul Ming.
KUALA LUMPUR – Usahawan produk makanan, Khairul Aming menarik perhatian ramai kerana menghargai kakitangannya terutama mereka yang bekerja di dua buah kilang Sambal Nyet di Kelantan.

Kali ini pempengaruh media sosial berusia 31 tahun itu menutup kilang selama lima hari dan membawa kesemua 60 orang staf bercuti ke Langkawi.

Lebih mengujakan, menerusi video yang dikongsi, pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman itu telah menyediakan penginapan untuk mereka semua di hotel lima bintang, bermain jet ski, explore cave, snorkelling dan juga yacht peribadi untuk membolehkan pekerjanya menyaksikan suasana matahari terbenam.

Malah demi memberi kegembiraan dengan percutian tersebut, Khairul Aming turut membelanja mereka di sana.

Perkongsian tersebut pastinya membuatkan warganet ‘tercengang’ kerana mengatakan tindakan usahawan itu melanggar ‘hukum majikan’ dan ramai ingin memohon bekerja dengannya.

Mereka juga tidak henti-henti memuji apa yang dilakukan pemuda berasal dari Kelantan itu kerana sangat menghargai para pekerja yang sama-sama membangunkan perusahaannya.

Sebelum ini, pada Ramadan lalu, Khairul Aming telah memberikan duit raya  serta membelanja mereka membeli baju raya di pusat beli-belah. – MalaysiaGazette