Kasim (dua dari kiri) merakamkan gambar bersama wakil dari AMBS, University of Manchester.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhasrat untuk mengadakan kolaborasi bersama Alliance Manchester Business School (AMBS), University of Manchester, England khususnya dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor ketika mengetuai delegasi UMS mengadakan pertemuan bersama pihak AMBS baru-baru ini.

Lawatan delegasi UMS disambut oleh Dekan AMBS, Profesor Dr. Kenneth McPhail yang merupakan profesor dalam bidang perakaunan.

Kasim yang juga merupakan salah seorang Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Sabah memaklumkan, dalam pertemuan tersebut kedua-dua pihak membincangkan peluang kerjasama penyelidikan dan akademik dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

Beliau turut menekankan potensi penyelidikan di negeri Sabah yang mempunyai kepelbagaian sumber semula jadi terutamanya keselamatan makanan, biodiversiti, seni budaya dan pelancongan serta minyak dan gas.

“Sumber-sumber ini menjadi tonggak ekonomi negara dan asas kepada penyelidikan berfokus untuk kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Antara topik perbincangan khusus dalam pertemuan tersebut adalah pertukaran kepakaran dalam ekonomi dan perniagaan serta kaedah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian atau Open Distance Learning.

Program lawatan itu disusuli dengan sesi perkongsian antara Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dengan para pelajar dari
Malaysia dan Indonesia yang mengikuti program Doktor Falsafah di University of Manchester.

Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi berkaitan peluang kerjaya sebagai ahli penyelidik dan akademik di UMS serta tips untuk menjalani pengajian dengan jayanya dalam tempoh yang ditetapkan, iaitu mencapai Graduate on Time.

Pertemuan tersebut diadakan sebagai mengambil peluang sempena lawatan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Juhar Mahiruddin yang juga merupakan Canselor UMS ke London, United Kingdom baru-baru ini. – MalaysiaGazette