Tengku Azman Tengku Zainol Abidin.

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Bukit Bintang mengakui kepimpinannya dan akar umbi masih kekok menjalinkan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Ketuanya, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, kepimpinan bahagian memerlukan sedikit masa untuk membuat sedikit pelarasan sebelum agenda Perpaduan benar-benar difahami akar umbi.

Beliau berkata, kefahaman itu penting dalam memastikan akar umbi UMNO bersedia membantu memenangkan rakan kongsinya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri termasuk memberi undi kepada calon PH.

“Akar umbi UMNO masih belum diberi penerangan sedangkan di peringkat kepimpinan bahagian pun kami belum lagi faham sepenuhnya apa sebenarnya strategi, objektif dan sebagainya (Konvensyen Perpaduan).

“Ini kerana ia berlaku terlalu pantas, jadi bagi sedikit masa untuk mereka (akar umbi) faham. Memang masa mula-mula mestilah (keliru) tapi sekarang ini mereka mula menerima.

“Parti lain-lain pun dia sendiri kena buat sedikit pelarasan, dulu lawan, sekarang kawan, nak buat pelarasan itu makan masa, kekok sedikit, tapi Insya-Allah beri sedikit masa mereka akan faham,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Tengku Azman mengakui sejak UMNO bersama PH khususnya DAP, parti Melayu itu boleh bergerak dan boleh bersuara dalam kalangan masyarakat di kawasan bandar.

“Dari sudut positifnya, apabila bersama dengan PH ini, dulu kalau di bandar ini UMNO tidak boleh diterima tapi sekarang ini mereka boleh bergerak.

“Walaupun kita mungkin agak susah untuk memenangi (kerusi), tetapi kita sekurang-kurangnya mampu bergerak dan mampu bersuara, kalau dulu dia shut off saja.

“Sekarang boleh masuk bandar dan boleh cerita sedikit,” katanya.

Ditanya tentang kesediaan akar umbi UMNO memberi undi dan memenangkan calon Perpaduan daripada PH, beliau berkata, perkara itu tidak mustahil malah ia sudah terbukti ketika bersama Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.

“Bergantung kepada kawasan sebab kalau kita lihat dulu masa bersama dengan Pas dalam MN, kita kalau bergerak di kawasan yang lebih ramai pengundi Melayu, kita akan dapat sokongan amat padu disebabkan kedua-duanya bersatu padu.

“Tapi sedar tak bahawa UMNO kini hilang kerusi kepada kawasan-kawasan yang sekarang ini campuran Melayu dengan bukan Melayu.

“Setiap kali berlaku perbandaran atau buka kawasan baharu di situ UMNO akan kehilangan sokongan disebabkan pengaruh luar atau pun penghijrahan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast