KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Perikatan Nasional hari ini mahu kerajaan menetapkan kumpulan Gay, Lesbian, Biseksual dan Transgender (LGBT) sebagai pesakit mental.
Dr Halimah Ali (Kapar-PN) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Akta Kesihatan Mental (Pindaan 2023) di Dewan Rakyat bersetuju dengan cadangan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) agar LGBT dikategorikan sebagai salah satu penyakit mental.
“Adakah (Ahli Parlimen) Kapar setuju bahawa golongan LGBT juga dicadangkan dimasukkan dalam masalah kesihatan mental,” kata Jamaludin ketika mencelah perbahasan Dr Halimah.
Dr Halimah yang mengakhiri perbahasan berkata, beliau bersetuju dengan cadangan tersebut dan memohon agar Dewan Rakyat memasukkan kenyataan itu dalam handsard dewan.
“Masukkan dalam ucapan saya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Halimah berkata, isu kesihatan mental adalah sesuatu isu yang besar dan perlu ditangani oleh kerajaan.
“Isu kesihatan mental ini adalah isu yang besar, lagi tentang pekerja dan generasi masa depan.
“Ini adalah peratusan yang besar dan saya bersetuju supaya bukan sahaja Kementerian Kesihatan tetapi semua kementerian perlu duduk bersama-sama mengatasi secara tuntas untuk mengatasi masalah kepada mereka yang celaru mental ini sehingga sanggup untuk membunuh diri,” katanya lagi.
Dalam bacaan kali pertama pada April lalu, Rang Undang-Undang Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 antara lain membolehkan pegawai intervensi krisis menangkap mana-mana orang yang cuba membunuh diri.
Rang undang-undang bagi meminda Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615) itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Selain itu, pegawai intervensi krisis boleh semasa menjalankan kuasa di bawah subseksyen (2) untuk memecah buka mana-mana pintu atau tingkap luar atau dalam mana-mana premis dan masuk ke dalam atau selainnya masuk secara paksa ke dalam premis dan mana-mana bahagian premis itu atau memindahkan secara paksa apa-apa halangan kepada laluan masuk itu.
Menurut rang undang-undang itu, pegawai berkenaan yang telah menangkap orang di bawah subseksyen (1) hendaklah dengan seberapa segera dan tidak lewat daripada 24 jam selepas penangkapan itu membawa orang berkenaan kepada pegawai perubatan di hospital psikiatri kerajaan atau pengamal perubatan berdaftar di hospital psikiatri swasta yang diwartakan untuk pemeriksaan.
RUU itu memasuki fasa bacaan kedua dan ketiga serta dijangka diluluskan pada sesi Dewan Rakyat petang ini. – MalaysiaGazette