Calon Perikatan Nasional P.081 Jerantut, Khairil Nizam Khirudin berucap pada Ceramah Umum dan Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional Pahang sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Jerantut, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pas melahirkan keyakinan untuk memenangi hati rakyat pada Pilihan Raya Negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, kemelut dalaman yang berlaku dalam Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dan kelemahan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa terlalu ketara.

Perkara itu akan dihukum rakyat dalam PRN, katanya.

“Pas memandang serius cabaran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan PRN ini sebagai kayu ukur sokongan rakyat.

“Bersandar kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu membuktikan BN-UMNO merekodkan keputusan terburuk dalam sejarah.

“Mereka hanya tinggal 30 kerusi Parlimen sahaja dan UMNO tinggal 28 kerusi dan ini adalah pencapaian terburuk Presiden UMNO setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Jerantut berkata, dengan pelbagai isu yang menyakitkan rakyat melingkari kerajaan PH-BN serta tunduknya UMNO kepada DAP pastinya membuatkan ahli UMNO akan mengalih sokongan kepada PN.

“Peralihan sokongan ini juga ditambah dengan perbalahan pembahagian kerusi antara UMNO dan DAP di beberapa negeri hingga ramai ahli UMNO kini bertekad menentang parti sendiri secara terbuka.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, Kerajaan Perpaduan akan terus mendapat sokongan pengundi meskipun PN mendakwa akan berlaku ‘tsunami’ orang Melayu.

Beliau berkata dalam sistem demokrasi di negara ini, semua pihak boleh mengeluarkan pandangan namun pilihan raya umum lepas memperlihatkan keputusan sebaliknya apabila berlaku penyatuan antara PH dan BN selepas itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau tak undi kerajaan pun, ko ingat rakyat nak undi PAS kaa? Dah lah sakau bonus AKSB…lepas tu jd Duta Timur Tengah makan gaji buta..lepas tu sekongkol dgn Muhyidin penyamun..lepas tu sokong Medey Kerala yg benarkan bukan Islam guna nama Allah…pergi jahanam lah ko lebai

Comments are closed.