KUALA LUMPUR- Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, tiba di kem tiga, 7 pagi tadi waktu Nepal.
Ketua ME 2023, Azim Afif Ishak dalam kenyataan berkata, jenazah telah dibawa turun dengan bantuan enam malim gunung secara manual menggunakan pengusung dari kem empat.
Katanya, ketika ini pasukan penyelamat berehat sebentar selepas mengusung jenazah secara bergilir-gilir selama sembilan jam.
Menurut beliau cuaca ketika ini kurang baik yang mana keadaan berangin dan mendung dengan suhu 23 darjah Celsius.
“Kita jangkakan perjalanan dari kem tiga ke kem dua mengambil masa selama dua jam namun ia bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.
Menurut Azim, jika cuaca mengizinkan, jenazah dijangka akan diterbangkan ke Kathmandu pada jam 1 tengah hari waktu Nepal.
Sebaik tiba di kem dua, jenazah akan diterbangkan menggunakan helikopter ke Everest Base Camp (EBC) dan seterusnya dibawa ke hospital di Kathmandu untuk proses selanjutnya.-MalaysiaGazette