Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani perlu membuktikan dakwaan beberapa syarikat Malaysia yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat China ketika lawatan Perdana Menteri ke negara itu tidak mempunyai rekod pencapaian yang mencukupi.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan pengalaman, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan membuat tapisan terhadap syarikat yang akan menyertai sebarang misi dagangan.

“MITI tidak akan membenarkan sebarang MoU ditandatangani sebelum syarikat itu disemak.

“Saya pernah berada di MITI. Saya tahu polisi yang ketat sebelum kita tandatangani mana-mana MoU dan saya yakin MoU (bernilai) RM170 bilion telah disemak oleh MITI.

“Kita ada cawangan MITI, MATRADE ( Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) dan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) di China. Pegawai sana semak satu persatu.

“Saya harap ada bukti tertentu pada Johari Ghani yang boleh dikongsi dengan kita,” kata Ahmad kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas gesaan Johari di Dewan Rakyat supaya MITI dan MIDA memperjelaskan sama ada proses tapisan dilakukan terlebih dahulu terhadap semua syarikat yang terbabit dalam MoU dengan China yang mempunyai nilai keseluruhan RM170 bilion.

Menurut Johari, beberapa syarikat yang menandatangani 19 MoU tidak mempunyai rekod pencapaian.

Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini menegaskan semua MoU yang ditandatangani antara syarikat Malaysia dengan China dinilai dan ditapis terlebih dahulu secara komprehensif serta telus oleh Jawatankuasa Penilaian MoU yang dianggotai beberapa kementerian serta agensi.- MalaysiaGazette