Home Nasional Suspek cuba curi tabung masjid di Bandar Baru Bangi ditangkap

Suspek cuba curi tabung masjid di Bandar Baru Bangi ditangkap

@malaysiagazette

Suspek Cuba curi Tabung Masjid di Bandar Baru Bangi Ditangkap Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Seorang lelaki yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu ketika cuba mencuri tabung masjid di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi akhirnya berjaya diberkas. malaysiagazette #mgnews #tular #fyp

♬ original sound – malaysiagazette – malaysiagazette

KUALA LUMPUR – Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Seorang lelaki yang cuba mencuri duit tabung sebuah masjid di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor pada Jumaat lalu ditahan polis awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pada 19 Mei lalu, pihaknya menerima laporan mengenai seorang lelaki Melayu cuba memancing duit tabung masjid di Bandar Baru bangi yang diletakkan di luar pekarangan masjid itu.

“Kejadian berlaku pada Khamis 18 Mei jam lebih kurang 3 pagi dimana pengadu terima panggilan daripada salah seorang pengawal keselamatan bertugas ketika itu. Dia memaklumkan bahawa ada orang cuba memancing duit tabung masjid.

“Pengadu kemudiannya membuat semakan rakaman CCTV kemudian mendapati suspek seorang lelaki yang memakai telekung berwarna biru berseluar warna hitam dan berpelitup muka berbuat sedemikian.

“Siasatan awal mendapati suspek tidak sempat mencuri duit tabung masjid dan usaha mengejar suspek dilakukan namun dia berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Baru Bangi telah menangkap suspek seorang penganggur berusia 23 tahun di sebuah flat di Kajang Mewah, Kajang, kira-kira jam 3 pagi ini.

Jelasnya, tangkapan tersebut membawa kepada rampasan sehelai baju t hitam tulisan Gucci, sehelai kain telekung berwarna biru dan sebuah motosikal Yamaha LC 135 yang disyaki digunakan semasa kejadian.

Tambah beliau, dengan penangkapan suspek, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes kecurian duit dan telefon bimbit di dalam masjid dan surau di sekitar Bandar Baru Bangi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan, ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222 atau balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Fadeli Safii di talian 012-5373134 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette