LONDON – Berita mengenai bintang Paris Saint Germain (PSG), Neymar akan berhijrah ke Manchester United tidak benar, lapor ESPN.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa buat masa ini United tidak pernah untuk mengejar penyerang antarabangsa Brazil itu bagi mendapatkan kesepakatan perpindahan.
“Manchester United tidak meneruskan perjanjian untuk Neymar. Bukan sekarang,” lapor wartawannya, Mark Ogden.
Semalam, media melaporkan rakan negara Neymar di United, Casemiro mahu memujuknya memilih ke Old Trafford.
PSG dikatakan meletakkan harga 75 juta pound (RM427.01 juta) untuk melepaskan Neymar pada musim panas ini.
United juga terdesak membawa nama besar ke Old Trafford dan Casemiro memainkan peranan untuk memujuk Neymar menyertai skuad kendalian Erik ten Hag.
Namun pada masa Newcastle United dikaitkan dengan perpindahan Neymar pada musim panas ini selepas The Magpies mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan ketika musim masih berbaki satu perlawanan.
United dijangka mampu mengikut jejak mereka apabila berdepan Chelsea minggu ini.
Awal bulan ini, lembaga pengarah Newcastle berminat membawa Neymar ke Liga Perdana Inggeris dengan faktor kewangan bukan satu masalah. – Agensi